SAHABAT - SAHABAT صحابة - صحابة









DUA ADUN PKR LETAK JAWATAN???

>> Isnin, Februari 02, 2009



Jamaluddin Mohd Radzi (kiri) dan Mohd Osman Jailu.

Wakil Rakyat Behrang, Changkat Jering buat penafian

IPOH: Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak, V Sivakumar, semalam mengumumkan peletakan jawatan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), tetapi kedua-dua wakil rakyat itu, Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) menafikannya.

Peletakan jawatan Jamaluddin dan Mohd Osman itu diumumkan V Sivakumar, dalam kenyataan yang difakskan di sini, malam tadi.

Jamaluddin yang dihubungi beberapa jam selepas itu, bagaimanapun berkata surat peletakan jawatannya dan Mohd Osman yang diterima Sivakumar sebenarnya ditandatangani pada 8 Mac tahun lalu kerana kerajaan Pakatan Rakyat ketika itu bimbang tujuh Adun mereka akan keluar parti.

"Surat itu digunakan seolah-olah saya sudah letak jawatan sebagai Adun. Ini satu pembohongan. Saya akan berbincang dengan peguam untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Mengenai kedudukannya ketika ini, Jamaluddin berkata, beliau masih Adun PKR dan belum mengisytiharkan menyertai Umno atau menjadi wakil rakyat bebas.

Ditanya mengenai 'kehilangannya' sejak beberapa hari lalu, Jamaluddin berkata, beliau sebenarnya mengambil cuti sakit sejak Rabu lalu. Bagaimanapun, Jamaluddin enggan memberitahu di mana beliau berada sepanjang tempoh itu.

Jamaluddin, 52, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, manakala Osman, 57, yang memegang portfolio Pelancongan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, sebelum ini disebut-sebut akan menyertai Umno.

Spekulasi itu tersebar selepas kedua-dua Adun berkenaan dilaporkan 'hilang' sejak 26 Januari lalu.

Sebelum itu, Sivakumar dalam kenyataannya, mendakwa surat peletakan jawatan Jamaluddin dan Mohd Osman diserahkan di rumahnya pada jam 5.45 petang semalam dan berkuat kuasa serta merta.

"Surat peletakan jawatan kedua-dua Ahli Dewan Negeri Perak itu diterima berasaskan Artikel XXXV, Undang-Undang Tubuh Negeri Perak Darul Ridzuan.

"Oleh itu, saya sebagai Yang Dipertua Dewan Negeri Perak akan mengisytiharkan kekosongan kedua-dua kerusi itu dengan segera," katanya.

Sivakumar berkata, beliau akan menghubungi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini bagi memaklumkan mengenai kekosongan kerusi itu untuk membolehkan pilihan raya kecil diadakan dalam tempoh 60 hari seperti termaktub dalam Artikel XXXVI (5) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak Darul Ridzuan.

Pada pilihan raya umum ke-12 Mac lalu, Jamaluddin mengalahkan calon BN, Datuk M Ramasamy, dengan majoriti 1,027 undi manakala Mohd Osman menewaskan calon BN, Datuk Mat Isa Ismail, dengan majoriti 1,102 undi.

Kedua-duanya kini menghadapi tuduhan menerima rasuah berhubung kelulusan permohonan projek perumahan bernilai RM180 juta di Sri Iskandar, Perak Tengah. Perbicaraan kes berkenaan akan bermula di Mahkamah Sesyen di sini selama tiga hari bermula 10 Februari ini.

Ketika ini, Pakatan Rakyat Perak mempunyai 32 Adun termasuk Adun Bota, Datuk Nasarudin Hashim yang menyertai PKR minggu lalu, manakala BN dianggotai 27 Adun.

PETIKAN DARI AKHBAR BERITA HARIAN Isnin, 02 Februari 2009 / 7 Safar 1430H

SELEPAS APA YANG KITA BACA DIATAS,KITA LIHAT BERLAKU SEDIKIT KELAM KABUT.DIMANA KERAJAAN PR NEGERI PERAK,SUDAH TAKUT DENGAN BAYANG - BAYANG SENDIRI.MEREKA TAKUT 2 ADUN MEREKA MELOMPAT PARTI.SAMA SAMA LAH KITA MELIHAT KESUDAHAN CERITA MEREKA INI.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Chat roll Blogger Pembela Negara BPN

Arkib Blog


  © Blogger template Simple n' Sweet by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP