SAHABAT - SAHABAT صحابة - صحابة









Perjuangan yang belum selesai

>> Rabu, Januari 28, 2009

Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayat,
dari melihat bangsaku dijajah.
Tidak ada yang lebih menyedihkan,
dari membiarkan bangsaku dihina.
Air mata tiada ertinya,
sejarah silam tiada maknanya,
sekiranya bangsa tercinta terpinggir,
dipersenda dan dilupakan.
Bukan kecil langkah wira bangsa,
para perjuang kemerdekaan,
bagi menegakkan kemulian,
dan darjat bangsa.
Selangkah beerti mara,
mengharungi sejuta dugaan.
Biarkan bertatih,
asalkan langkah itu yakin dan cermat,
bagi memastikan negara,
merdeka dan terpelihara.
Air mata sengsara,
mengiringi setiap langkah bapa-bapa kita.
Tugas kita bukan kecil,
kerana mengisi kemerdekaan,
rupanya lebih sukar,
dari bermandi keringat dan darah menuntutnya.
lagi pula apalah ertinya kemerdekaan,
kerana bangsaku asyik mengiya dan menidakkan,
mengganguk dan membenarkan,
kerana sekalipun bangganya negara,
kerana makmur dan mewahnya,
bangsaku masih melata,
dan meminta-minta di negaranya sendiri.
Bukan kecil tugas kita,
meneruskan perjuangan kemerdekaan kita,
kerana rupanya selain memerdekakan,
mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara.
Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya,
bukankah sejak zaman berzaman,
mereka menjadi pelaut, pengembara,
malah penakluk terkemuka.
Bukankah mereka sudah mengembangkan sayap,
menjadi pedangang dan peniaga,
selain menjadi ulama dan ilmuan terbilang.
Bukankah bangsaku pernah mengharung samudera,
menjajah dunia yang tak dikenali.
Bukankah mereka pernah menjadi wira serantau,
yang tidak mengenal erti takut dan kematian.
Di manakah silap hingga bangsaku,
merasa begitu kecil dan merendah diri.
Apakah angkara penjajah,
lalu bangsaku mulai melupakan,
kegemilangan silam,
dan sejarah gemilang membina empayar.
Tugas kita belum selesai rupanya,
bagi memertabat dan memuliakan bangsa,
kerana hanya bangsa yang berjaya
akan sentiasa dihormati.
Rupanya masih jauh dan berliku jalan kita,
bukan sekadar memerdeka dan mengisinya,
tetapi mengangkat darjat dan kemulian,
buat selama-lamanya.
Hari ini, jalan ini pasti berliku,
kerana masa depan belum menjanjikan surga,
bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa.
Perjuangan ini belum selesai,
kerana hanya yang cekal dan tabah,
dapat membina mercu tanda,
bangsanya yang berjaya.

- Dr. Mahathir bin Mohamad
Malam Puisi Utusan, 14 Mei, 1996

0 ulasan:

Catat Ulasan

Chat roll Blogger Pembela Negara BPN


  © Blogger template Simple n' Sweet by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP