SAHABAT - SAHABAT صحابة - صحابة









Pendustaan punca 3 sifat munafik

>> Jumaat, Januari 30, 2009

PADA zaman Rasulullah SAW, pegawai kerajaan diarahkan menyimpan apa
saja yang mereka terima sebagai hasil negara dalam Perbendaharaan
Awam. Rasulullah SAW turut memberi peringatan, "Wahai manusia!
Sekiranya ada di kalangan kamu yang dilantik sebagai wakil pentadbir
oleh kami, dan kemudian menyorokkan daripada kami walaupun hanya
sebatang jarum, atau lebih, dia sudah berkhianat, dan akan membawanya
di Hari Kebangkitan. " (Hadis riwayat Abu Dawud)

Peringatan Rasulullah SAW itu selaras amaran Allah dalam firman
bermaksud: "Sesiapa yang berkhianat menggelapkan sesuatu harta
(kepunyaan semua), dia akan datang menanggung apa yang dikhianatkan
itu pada Hari Kiamat; kemudian akan dibalas tiap-tiap seorang apa yang
dikerjakannya, sedang mereka tidak dianiayai." (Surah Ali-'Imran, ayat
161)

Peringatan itu penting kerana mereka yang diamanahkan untuk memerintah
memiliki kuasa besar terhadap cara hasil negara dibelanjakan. Untuk
mendokong sifat amanah terhadap kuasa inilah Allah merakamkan dalam
al-Quran keperluan menyerahkan kerja kepada seseorang berperibadi kuat
(al-qawiyy), iaitu yang berupaya serta berkebolehan (Surah al-Qasas,
ayat 26).

Justeru, Rasulullah SAW pernah memberi peringatan bahawa ada tiga
tanda orang munafik iaitu :

1. apabila dia berbicara, dia berdusta;
2. apabila dia berjanji, dia menyalahi janji; dan
3. apabila dia diamanahkan, dia berkhianat.

Dalam riwayat dirakamkan Imam Muslim, ada pernyataan tegas Rasulullah
SAW mengenai golongan munafik iaitu `dia turut puasa, sembahyang dan
menganggap diri Muslim.'

Keprihatinan akhlak yang menjadi lunas Islam tidak berlawanan dengan
apa yang pernah dinyatakan Marcus Tullius Cicero dalam risalahnya De
Officiis, "tidak ada perbuatan aniaya yang lebih menonjol daripada
perlakuan seseorang hipokrit, yang serentak dengan sifatnya yang
khianat, berpura-pura berbuat kebajikan."

Sesungguhnya, perlakuan aniaya paling membinasakan kepada diri
sendiri, masyarakat dan negara berkisar kepada tiga kejahatan itu
iaitu berdusta, mungkir janji, dan mengkhianati amanah.

Dunia Islam semasa, sudah lama diperingatkan untuk mengawal kejatuhan
moral itu sejak Persidangan Pertama Sedunia mengenai Pendidikan Islam
di Makkah, pada April 1977, apabila Prof Dr Syed Muhammad Naquib
al-Attas membentangkan kertas sidang pleno mengenai The
Dewesternization of Knowledge.

Beliau juga mengingatkan, walaupun tiga sifat itu kedengarannya
seperti tiga perlakuan berbeza, pada hakikatnya ia adalah tiga darjat
pendustaan apabila berbicara, berdusta apabila memungkiri janji,
berdusta melalui perlakuan pecah amanah dan menyelewengkan kuasa.

Banyak ayat al-Quran dan hadis sahih memperkuatkan lunas Islam ini.
Dalam Islam, sifat khianat adalah musuh kepada keimanan yang hakiki
dan kesedaran untuk menyerahkan diri hanya kepada Allah Tuhan Yang
Maha Esa, tidak kepada yang selain-Nya. Seseorang Mukmin tidak mungkin
berakhlak dusta atau pecah amanah.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa tidak memiliki kejujuran,
tidak memiliki iman; dan sesiapa yang tidak memelihara janji, bukanlah
seorang yang beragama." (Hadis riwayat Tabrani dan Baihaqi)

Kesarjanaan Islam mentakrifkan insan sebagai al-hayawan al-natiq.
Secara harfiah, insan adalah `hidupan berkata-kata, ' bermakna
pertalian dengan tutur katanya, seseorang itu akan mencerminkan jiwa
dalamannya.

Berkenaan perkara itu, pemikir Perancis, Michel Eyquem de Montaigne
pernah menyatakan, "Sebagai manusia, kita terikat hanya dengan apa
kita tuturkan.

Oleh kerana persefahaman antara seorang manusia dengan manusia lain
boleh dinyatakan melalui tutur kata, sesiapa berdusta dalam
tuturbicaranya adalah mengkhianati masyarakat manusia. Tutur kata
adalah satu-satunya alat untuk menyampaikan iradat dan fikiran kita;
tuturbicara adalah penterjemah jiwa. Dengan berdusta, tiada lagi tali
mengikat antara manusia. Pendustaan memutuskan semua perhubungan
masyarakat dan meleburkan semua ikatannya."

Bijak-pandai Melayu mengungkapkan lunas akhlak bersifat alami ini
menerusi pepatah `kerbau dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji.'

Justeru, manusia khianat pada janji dan ikatan amanah adalah lebih
hina daripada kerbau dan lembu, seperti peringatan al-Quran, "Mereka
itu seperti binatang, bahkan lebih sesat lagi." (Surah al-A'raf, ayat 179)

Demi menegaskan kewajipan untuk tidak mengkhianati amanah, Allah
memerintahkan orang beriman supaya menyempurnakan ikatan janji amanah
yang kukuh.

Al-Raghib al-Isfahani menjelaskan, tiga jenis ikatan amanah iaitu :

* perjanjian antara insan dengan Tuhan,
* janji antara manusia dengan dirinya sendiri dan
* janji antara seseorang manusia dengan manusia lain yang serasi
dengan persyaratan agama.

Misalnya, perjanjian perdagangan antara penjual dengan pembeli,
persepakatan masyarakat antara pelbagai kelompok kaum, akad-nikah
perkahwinan dan persetiaan antarabangsa.

Perjanjian tersirat yang perlu ditunaikan dengan saksama seperti
perjanjian tersirat antara tuan rumah dengan tetamunya, pengembara
dengan pengiringnya, majikan dengan pekerjanya dan seterusnya.

Abdullah Yusuf Ali menyatakan, seseorang yang meninggalkan mereka yang
berada dalam tanggungjawabnya dan sebaliknya pergi `beribadah'
berseorangan di padang pasir adalah seorang bacul yang mengabaikan
`uqud atau tugas wajibnya.

Tambahan pula, "Allah memerintahkan kamu supaya menyerahkan amanah
kepada yang berhak." (Surah al-Nisa', ayat 58).

Ayat al-Quran ini merangkumi segala amanah, sama ada berkaitan harta
benda, atau berkaitan dengan akhlak.

Jika ada tugas perlu ditunaikan kepada seseorang yang lain, tugas itu
adalah amanah wajib ditegakkan, maka mengerjakannya dengan sempurna
dan penuh tanggungjawab adalah perbuatan menyerahkan amanah kepada
yang berhak.

INTI PATI

* Sifat khianat adalah musuh kepada keimanan yang hakiki.
* Tuturkata mencerminkan jiwa dalaman.
* Pendustaan memutuskan semua perhubungan masyarakat dan meleburkan
semua ikatannya.
* Allah memerintahkan orang beriman menyempurnakan janji.
* Tiga jenis ikatan amanah adalah perjanjian antara insan dengan
Tuhan, janji manusia dengan diri sendiri dan janji manusia dengan
manusia lain.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Chat roll Blogger Pembela Negara BPN


  © Blogger template Simple n' Sweet by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP