Orang Mukmin Yang Kuat Lebih Dikasihi Allah
>> Jumaat, Januari 30, 2009
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
"Orang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi
daripada orang mukmin yang lemah, sedangkan setiap seorang itu
mempunyai kebaikannya (imannya) ; oleh itu hendaklah engkau
bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat
kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan
janganlah engkau bersikap segan dan malas; dan sekiranya engkau
ditimpa sesuatu maka janganlah engkau berkata : " Kalaulah aku lakukan
itu ini, tentulah akan terjadi begitu begini, tetapi katalah :" Allah
telah takdirkan, dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan- Nya Ia
lakukan, kerana perkataan `kalau' itu membuka jalan kepada hasutan
syaitan. "
(Riwayat Muslim)
Huraian & Pengajaran Hadith :
* Setiap mukmin itu mempunyai tingkat imannya yang tertentu di mana
ada yang kuat semangatnya, ilmunya dan kuat pula berusaha untuk
mendapatkan kebaikan dalam hidup; manakala setengah yang lain pula
adalah sebaliknya.
* Seharusnya kita berusaha bersungguh-sungguh dalam mencapai sesuatu
di samping meminta pertolongan daripada Allah S.W.T supaya dengan
ihsan-Nya Allah memberi taufik dan menjayakan segala usaha yang
dilakukan itu kerana manusia walau sebijak mana dan sekuat mana pun
ia, tetap berhajat kepada pertolongan dan pimpinan daripada Allah S.W.T.
* Demikian juga kita tidak sepatutnya bersikap malas dan malu untuk
bekerja serta hanya memasang angan-angan bahawa Allah akan
menyampaikan hajat kita dengan alasan Allah itu Maha Berkuasa
sedangkan Allah sendiri telah menjelaskan bahawa sesuatu yang boleh
diusahakan oleh manusia tidak akan berhasil melainkan setelah
diusahakan sebab atau jalan untuk mencapainya.
* Sekiranya sesuatu usaha yang dibuat itu ditakdirkan menemui
kegagalan maka kita selaku umat Islam dikehendaki menghadapinya dengan
perasaan redha, tenang tenteram kerana hal tersebut pasti mengandungi
hikmahnya yang tersendiri yang hanya diketahui oleh Allah.
* Janganlah sekali-kali disebut perkataan `kalau' jika mengalami
kerugian atau kekecewaan kerana ia akan membuka jalan kepada hasutan
syaitan yang akan menjadikan seseorang itu gelisah, marah, tidak redha
kepada takdir dan ketentuan Allah Yang Maha Esa.
2 ulasan:
Harap tuan blog sudi bersama BPN mencipta suara baru blogger Malaysia untuk membela agama bangsa dan negara..
Kita kena bersatu dan suara kita kena padu !
terima kasih saudara.saya sudi utk bersama BPN dan bersatu bersama-sama blogger lain di BPN.diharap saudara dapar membantu saya untuk bersama2 BPN
Catat Ulasan